Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada media berkenaan Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2025.

SHAH ALAM – Persempadanan bagi Putrajaya dijangka selesai akhir tahun ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun katanya, proses persempadanan bagi Kuala Lumpur dan Selangor belum dimuktamadkan kerana melibatkan kawasan yang lebih rumit.

“Sebahagian proses itu hampir selesai di Putrajaya.

“Yang melibatkan kawasan Ampang-Kuala Lumpur, Petaling Jaya-Kuala Lumpur dan Subang-Kuala Lumpur akan mengambil sedikit masa lagi sebab ia melibatkan kawasan yang lebih rumit (belum selesai),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi mengulas pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa semalam.

Sementara itu Amirudin berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan isu tanah perkuburan Islam di Semenyih.

Zaliha dilaporkan berkata, pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor mampu menampung keperluan jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun.

Jelasnya, penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70 peratus setakat ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, kerajaan negeri memohon supaya sebanyak 10 peratus penduduk tempatan dibenarkan untuk dikebumikan di tanah perkuburan di Semenyih bagi mengelakkan beban kapasiti di kawasan lain.

“Nampaknya mereka positif dengan cadangan tersebut, walaupun ia akan diuruskan JAWI milik Pesuruhjaya Persekutuan,” katanya lagi.

Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jenazah umat Islam di Kuala Lumpur bakal dikebumikan di kawasan tanah perkuburan baharu yang diwartakan kerajaan di Semenyih.

Mohd Na’im berkata, tapak baharu dengan keluasan hampir 90 hektar itu bakal diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memandangkan tanah kubur di ibu kota dijangka bertahan hingga enam tahun sebelum semua lot penuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast