Tuesday, September 1, 2026
Home Nasional PM Timor Leste santuni media, beri coklat

PM Timor Leste santuni media, beri coklat

Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao beramah mesra bersama pengamal media ketika di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Timor Leste, Kay Rala Xanana Gusmao terus mencuri perhatian pengamal media dengan sikapnya yang ramah dan gemar melayan soalan secara spontan.

Kali ini, Gusmo sempat berhenti seketika di laluan menunggu dan mengagihkan coklat yang dikeluarkan daripada poket blazernya kepada pengamal media selepas selesai Sidang Kemuncak Kedua ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sini, hari ini.

“Anda semua menunggu terlalu lama,” katanya sambil menghulurkan coklat kepada pengamal media tanpa menghiraukan protokol.

Semalam, Gusmao yakin negara itu dapat memenuhi instrumen untuk menjadi anggota tetap ASEAN pada Oktober ini.

Tambah beliau, Timor-Leste dalam usaha memenuhi dua hingga tiga kriteria lagi sebelum menjayakan usaha berkenaan.
Semalam, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) sepakat menerima garis panduan bagi memudahkan penyertaan Timor-Leste ke dalam Instrumen Undang-Undang blok itu.
Berdasarkan kenyataan media Kementerian Luar, perkembangan itu sekali gus menandakan kemajuan berterusan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN di bawah AMM.
Gusmao tiba semalam menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pesawat yang membawa Gusmao dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.45 petang semalam dan disambut oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Kompleks Bunga Raya.
Gusmao kemudian memeriksa kawalan kehormatan oleh 28 anggota dan pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini, serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast