Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menasihati Datuk Seri Rafizi Ramli supaya `tidak lagi mengetuk pintu yang telah tertutup’, susulan keputusan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi hari ini.

Sebaliknya, adalah lebih baik untuk Rafizi yang meletak jawatan kerana tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini mencari ‘pintu lain yang terbuka’.

Menunurt Annuar, keputusan Rafizi meletak jawatan itu menandakan beliau menerima hakikat partinya sendiri telah menolak beliau.

“Kehilangan jawatan, tidak semestinya berakhirnya perjuangan. Yang penting, prinsip di pertahankan.

“Tidak mustahil tertutupnya satu pintu, ada lagi pintu lain yang terbuka. Selamat berjuang, saudara Rafizi Ramli…,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Rafizi hari ini mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar minggu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun depan dan akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini.

Sebelum ini, Annuar pernah menyifatkan Rafizi tokoh yang sesuai untuk menyertai satu koalisi politik nasional yang disifatkan sebagai ‘payung besar’ dalam membawa transformasi negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Annuar berkata, kekalahan Rafizi dalam pemilihan PKR tidak semestinya melenyapkan figura utama politik negara itu daripada landskap politik yang semakin dinamik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast