BUTTERWORTH – Bakal pengantin dan tiga rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan parang dan bersubahat bagi kes sama, pada dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, K. Ravindran, 28, dan D. Sathea, 32, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan senjata berbahaya iaitu parang di hadapan Jalan Perak Duck, Jalan Raja Uda di sini, jam 8.35 malam pada 16 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala bakal pengantin, Muhammad Ilyas Kalaiarasan Abdullah, 33, dan B. Thanabala Singam, 53, pula didakwa bersubahat dengan Ravindran serta Sathea bagi kejadian sama di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama, yang juga membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed manakala semua tertuduh diwakili peguam Y. Yogeswaran.
Dalam mitigasi rayuan, Yogeswaran memaklumkan kepada mahkamah kesemua anak guamnya perlu menyara keluarga masing-masing manakala Sathea merupakan seorang kontraktor.
“Selain itu, anak guam saya yang bernama Muhammad Ilyas Kalaiarasan juga bakal melangsungkan perkahwinan minggu hadapan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 1 Julai depan.
Terdahulu, mangsa yang hampir putus lengan kiri dalam kejadian tersebut turut hadir ke mahkamah dalam keadaan berbalut untuk mengikuti prosiding berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan patah tangan kiri selain mengalami kecederaan lain akibat ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Raja Uda dekat sini.
Insiden berkenaan turut tular di media sosial dengan memaparkan suspek bertopeng melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih selepas menyerang seorang lelaki menggunakan parang.
Mangsa dalam keadaan berlumuran darah pada tangan kiri kemudian meminta bantuan orang awam dan diberikan rawatan awal di sebuah klinik sebelum dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Susulan itu, polis berjaya menahan suspek yang terlibat dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah – MalaysiaGazette
















