KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus menurun 3.4 peratus pada April 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perlombongan merupakan penyumbang utama kepada penurunan ini, mencatatkan 17.8 peratus (Mac 2025: -15.0%) disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8%) dan Pengekstrakan gas asli (-11.6%).

Sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan 2.6 peratus (Mac 2025: -1.8%), dengan penyusutan dalam pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-15.7%).

Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan merekodkan peningkatan sederhana 2.6 peratus, disokong terutamanya oleh subsektor Penanaman tanaman kekal (5.9%).

Sektor bekalan elektrik & gas mencatatkan penurunan marginal 0.6 peratus, manakala sektor bekalan air mencatatkan peningkatan perlahan 0.9 peratus.

“Pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan menurun 1.0 peratus pada April 2025, berbanding penurunan 0.6 peratus pada Mac 2025.

Sektor pertanian, perhutanan & perikanan mencatatkan penurunan 6.0 peratus, disebabkan oleh subsektor penanaman tanaman kekal yang susut
8.1 peratus.

“Sektor Perlombongan turut susut 1.2 peratus, disebabkan oleh pengekstrakan petroleum mentah (-3.6%). Dalam masa yang sama, sektor pembuatan menurun 0.5 peratus, dengan penurunan dalam pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-2.0%) dan pembuatan produk makanan (-1.0%),” katanya.

Namun begitu, sektor bekalan elektrik & gas meningkat 0.3 peratus, manakala sektor Bekalan air mencatatkan peningkatan 1.3 peratus.

Ketua Perangkawan menjelaskan, semua kategori mencatatkan penurunan pada April 2025 secara tahun ke tahun.

Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya mencatatkan penurunan ketara 9.2 peratus, terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam Bahan bukan makanan (-11.2%).

Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen menurun 2.2 peratus, dipengaruhi oleh bahan api yang diproses & pelincir yang susut 10.3 peratus.

Sementara itu, indeks barang siap mencatatkan penurunan sederhana 1.4 peratus, dipacu oleh penurunan 1.9 peratus dalam kelengkapan modal.

Pada asas bulan ke bulan, indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya susut 4.2 peratus.

Dalam masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen dan barang siap masing-masing menurun 0.2 peratus dan 0.5 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast