Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi hari ini membawa kepada persoalan baharu tentang hala tuju Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas ini.

Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, agak janggal untuk figura berstatus timbalan presiden parti yang mengemudi kerajaan tidak mempunyai sebarang jawatan dalam pentadbiran.

Jelasnya, dalam situasi ketika ini, adalah lebih mudah untuk Nurul Izzah dilantik sebagai Senator.

Namun, dengan keberadaan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, lantikan sebagai Senator sudah pasti akan menimbulkan polemik dan perdebatan.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Pilihan lain yang ada adalah Nurul Izzah pimpin Selangor, (manakala) Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari dibawa ke Kabinet sebagai Menteri Persekutuan.

“Tapi Nurul Izzah bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tidak boleh dilantik sebagai Menteri Besar (MB).

“Jika tunggu pilihan raya umum negeri yang seterusnya, tempoh tersebut secara relatifnya agak lama bagi dunia politik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Mohd. Yusri yang juga Pensyarah Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT menambah, pilihan lain adalah dengan mengosongkan mana-mana kerusi ADUN PKR untuk memberi laluan kepada Nurul Izzah bertanding, seperti yang dilakukan menerusi Langkah Kajang.

Bagaimanapun, ujar beliau, setiap pilihan yang diambil mempunyai risiko, kos dan keuntungan serta pro serta kontra, selain bakal menjadi topik hangat dunia politik tanah air khususnya dalam PKR.

“Banyak debat akan berlaku, termasuk wacana tentang kemungkinan untuk seorang wanita mengetuai kerajaan negeri.

“Mungkin Nurul Izzah juga akan beristikharah di al-Haram nanti untuk mendapat petunjuk Ilahi haluan beliau seterusnya selepas pulang mengerjakan haji nanti,” katanya.

Rafizi hari ini mengotakan janjinya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi selepas tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar minggu lalu.

Dalam satu kenyataan, Rafizi berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 17 Jun depan dan akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast