MELAKA – Cadangan Polis Melaka kepada kerajaan negeri supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape disokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.
Sukarelawan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia (MyCHAMPION), Azlin Othman berkata, ia bertepatan dengan perlunya tindakan bersama bagi mencapai sasaran bebas vape yang memberi implikasi besar kepada kesihatan anak-anak.
“Tambahan pula, tabiat ini telah terbukti boleh mendatangkan kemudaratan kepada semua peringkat umur.
“Tabiat menghisap vape termasuk juga tidak sepatutnya menjadi normalisasi apatah lagi budaya kerana ianya memberi kesan negatif terhadap kesihatan penggunanya dan orang di sekeliling,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut laporan, penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan generasi muda meningkat dua kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“‘Warna-warni’ vape dengan pelbagai ‘perisa’, namun hakikatnya ada perangkap senyap dadah sintetik yang digunakan dalam cecair vape seperti methamphetamine, ekstasi, dan fentanyl.
“Adalah menjadi harapan agar hebahan keburukannya semua peringkat dapat dipergiatkan dan seterusnya masalah ini dibendung sepenuhnya,” katanya.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan cadangan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar itu susulan penyalahgunaan dadah sintetik baharu dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meningkat.
Menurut beliau, kontinjen Melaka kini sedang menyiapkan kajian kertas kerja cadangan itu yang akan dibentangkan kepada kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, selain kesan vape terhadap masalah sosial dalam kalangan pelajar, kajian turut meliputi pelbagai aspek termasuk impak kepada ekonomi peniaga dan sebagainya. – MalaysiaGazette
















