MELAKA – Restoran Nasi Kandar Pelita ke-30 di Melaka menjadi cawangan pertama dan satu-satunya memperkenalkan menu Nasi Kandar RM10 sekali setiap bulan bagi merancakkan lagi program pelancongan negeri.
Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd., Datuk Shamsuri Ahmad berkata, keputusan serta merta itu juga dibuat bagi menyahut saranan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mahu membantu lebih ramai rakyat golongan B40 menikmati hidangan popular nasi kandar.
“Sebaik sahaja mendengar cadangan daripada Ketua Menteri dalam ucapan perasmiannya tadi, kami bersetuju menjadikan Restoran Pelita cawangan yang ke-30 di seluruh negara dan pertama di Melaka ini turut menawarkan menu nasi kandar RM10.
“Menu merangkumi nasi putih, ayam, sayur dan air ini akan disediakan sebulan sekali pada tarikh sama dengan program Melaka Bila Larut Malam yang diilhamkan Ketua Menteri sebagai salah satu tarikan pelancongan yang popular di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian restoran berkenaan yang dirasmikan Ab Rauf di Peringgit, di sini, hari ini.
Sempena perasmian hari ini, Restoran Pelita menawarkan nasi kandar percuma kepada kira-kira 4,000 pengunjung bermula dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.
Mengulas lanjut, Shamsuri yang juga pendakwah bebas terkenal berkata, pemilihan Melaka sebagai cawangan ke-30 adalah selepas keyakinan melihat kunjungan pelancong yang semakin meningkat saban tahun di negeri Hang Tuah ini.
“Sebenarnya, kos operasi Pelita sangat tinggi sebab itu kita perlu beroperasi selama 24 jam dan perlu memilih lokasi yang benar-benar strategik sehinggalah waktu malam.
“Walaupun Melaka ‘kurang hidup’ berbanding Kuala Lumpur, namun kita yakin faktor tarikan pelancong mampu memastikan kita mendapat pulangan yang memuaskan,” katanya.
Program Melaka Bila Larut Malam yang mula diperkenalkan pada 1 Jun 2024 iaitu Sabtu pertama setiap bulan dan menjadi satu-satunya negeri yang menawarkan produk pelancongan serendah RM10 selepas jam 11 malam.
Idea Ab Rauf itu mendapat sambutan hebat apabila merekodkan purata 10,000 pengunjung dan pelancong setiap kali penganjurannya bermula jam 10 malam hingga 2 pagi. – MalaysiaGazette
















