GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat hari ini, menghantar memorandum untuk meminta campur tangan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara agar ciri PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan dalam negara.
Setiausahanya, Syazana Mohd Ramsey Shah berkata, penyerahan memorandum itu dibuat bertujuan memohon campur tangan baginda berkaitan trend PK Battle yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini.
Jelasnya, selain itu ia juga bagi mendesak kerajaan mempertimbangkan tuntutan tersebut kerana PK Battle boleh meruntuhkan akhlak sosial termasuk wujud unsur menjatuhkan maruah serta buli siber.
“Isu PK Battle ini adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian yang serius kerana ia melibatkan generasi muda tambahan pula dibimbangi boleh menjadi barah jika tidak dibendung dari awal.
“Keputusan untuk menyerahkan memorandum ini diambil melalui persetujuan sebulat suara semua ahli pertubuhan susulan melihat trend PK Battle semakin digilai anak muda meskipun ia tidak memberi manfaat secara langsung kepada mereka.
“Jadi kita harap usaha yang dilakukan ini mendapat perhatian sewajarnya sekali gus menyelamatkan generasi muda di negara ini daripada terjebak dengan masalah sosial hingga mampu merosakkan akhlak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengerusinya, L. Francis Xavier turut membuat laporan polis bagi memaklumkan tujuan penyerahan memorandum tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
PK Battle: Polis sahkan terima laporan, rujuk MCMC
Trend PK Battle bercanggah dengan ajaran Islam – Mufti P.Pinang
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ di platform TikTok yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.
Pengerusinya, L. Francis mendakwa aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual, serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyifatkan trend PK Battle dalam kalangan pengguna TikTok bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ia menggalakkan pembaziran harta, hiburan melampau serta perlakuan yang merendahkan maruah manusia.
Dr Mohd Sukki menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pembaziran dan menyeru umatnya untuk memanfaatkan harta serta masa secara berhemah.
“Trend PK Battle merupakan satu bentuk hiburan yang tidak mendidik sebaliknya memperlihatkan budaya menunjuk-nunjuk, mengejar populariti dan memperagakan diri demi mendapatkan sumbangan,” katanya. – MalaysiaGazette















