Serbuan dilakukan susulan maklumat awam berhubung penyalahgunaan permit oleh pekerja asing di kilang berkenaan.

BUKIT MERTAJAM – Operasi dua kilang elektronik di Seberang Perai nyaris terjejas selepas tindakan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah berjaya dikesan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam satu serbuan hari ini.

Serbuan menerusi Ops Sasar itu dijalankan susulan maklumat awam penyalahgunaan permit oleh pekerja asing di kilang berkenaan.

Pengarah JIM Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata, dalam operasi tersebut, seramai 103 pekerja asing diperiksa dan 48 daripada mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran syarat permit serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

Syamsul Fitry.

“Rata-rata yang ditahan terdiri warga Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, India dan China berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Hasil semakan dokumen mendapati sebahagian daripada mereka bekerja di sektor tidak dibenarkan dan di syarikat yang tidak dinyatakan dalam permit, selain ada yang menetap melebihi tempoh sah di negara ini.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Juru untuk tindakan lanjut,” katanya di lokasi serbuan.

Kesemua tangkapan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan sama, Syamsul Fitry turut mengingatkan semua pihak majikan di negeri ini supaya mematuhi syarat pengambilan pekerja asing selaras dengan peraturan imigresen yang ditetapkan.

“JIM Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan operasi secara berkala dan berskala besar khususnya di kawasan industri dan lokasi tumpuan bagi mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast