Ab Rauf (tengah) menyantuni murid-murid di SRA JAIM Bertam Hulu sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Melaka hari ini

MELAKA – Syarikat konsesi perkhidmatan bas henti-henti di Melaka, BAS.MY Melaka atau ‘bas pink’ diingatkan supaya mempertingkatkan kualiti pemandunya yang lalai dan tidak cekap mengendalikan pengangkutan awam itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kemalangan maut yang dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas berkenaaan sehingga mengorbankan nyawa pemuda berusia 23 tahun Isnin lalu menjadi bukti kegagalan syarikat konsesi berkenaan.

“Dalam video (kemalangan yang tular) saya tengok itu menampakkan kelalaian dan ketidakcekapan pemandu ini walaupun dia tidak mempunyai rekod kesalahan trafik, tapi kealpaannya menyebabkan kemalangan maut.

“Saya mohon kepada pihak pemegang konsesi BAS.MY di Melaka ini supaya menmpertingkatkan lagi kualiti latihan kepada pemandu-pemandu mereka supaya dapat mengelak berlakunya kemalangan maut yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Sekolah Jenis Kebangsaaan (SJK)(C) Bertam Ulu dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Bertam Hulu di sini hari ini.

Hadir sama, Penyelaras DUN Sungai Udang yang juga ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pelantikan syarikat konsesi bas terbabit bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya diputuskan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Namun saya berharap, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis supaya berikan pendidikan yang lebih ketat agar mereka ini (syarikat dan pemandu) lebih berdisiplin,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang Isnin lalu, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut manakala rakan sekerjanya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, cedera apabila kereta dinaiki yang sedang berhenti di bahu jalan dan memasang lampu kecemasan dirempuh bas berkenaan.

Kejadian berlaku di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara dengan bas yang sedang dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Alor Gajah.

Siasatan awal polis mendapati bas berkenaan yang datang dari arah belakang tiba-tiba merempuh sebuah Perodua Kembara yang sedang berhenti kiri bahu jalan mengakibatkan pemandunya tercampak keluar dan maut ditempat kejadian akibat parah di kepala manakala rakan sekerjanya mengalami luka-luka.

Insiden itu turut tular di media sosial melalui bukti video papan pemuka bas berkenaan yang menunjukkan ia dipandu di lorong kiri sebelum tiba-tiba merempuh Perodua terbabit yang dilihat sudah lama berhenti sambil memasang lampu signal kecemasan.

Dalam satu video dalam bas menunjukkan, pemandunya yang memakai cermin mata hitam sedang mencapai sebungkus plastik minuman dan meneguknya sebelum berlaku nahas beberapa saat selepas itu.

Nahas kemalangan maut itu mengundang simpati warga net apabila tular video orang awam membantu mangsa pemandu yang sedang nazak mengucap sebelum lelaki itu meninggal dunia di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast