KUALA LUMPUR – Keputusan mengejut dua tokoh penting reformasi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad untuk melepaskan jawatan dalam jemaah Menteri mencerminkan kecekalan mereka mempertahankan prinsip perjuangan parti, meskipun terpaksa menempuh laluan yang tidak popular.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyifatkan keputusan itu sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti, malah kepada negara yang sedang berdepan cabaran kepimpinan masa depan.
“Sejujurnya, bukan sahaja parti tetapi negara kehilangan muka depan (front face) yang progresif dan futuristik.
“Segala tunjuk ajar serta teladan yang diberikan Rafizi akan terus menjadi pedoman untuk saya menjalankan amanah dan tugas dalam masa yang berbaki ini.
“Tatkala negara akan terus hadapi cabaran yang sukar pada masa yang mendatang, roh semangat perjuangan Rafizi dan Nik Nazmi akan terus bersama kita semua.,” katanya, hari ini.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa dari 17 Jun serta 4 Julai depan.
Rafizi berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri.
Bermula dari hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Sementara itu, Nik Nazmi pula berkata, beliau akan bercuti bermula esok hingga 3 Julai depan.
Dalam pada itu, Akmal juga mengingatkan bahawa penilaian terhadap tindakan dan keputusan pemimpin politik bukan hanya dibuat oleh rakyat, tetapi juga oleh Allah.
“Akhirnya, Allah dan rakyat juga yang akan menjadi hakim kepada amalan, usaha dan pendirian yang kita ambil selaku pemimpin politik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















