JASIN – Seorang gadis maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki bergesel dengan sebuah lori ketika cuba memotong dari sebelah kiri di Jalan Rim-Bukit Katong, di sini.
Mangsa, Farra Adrienna Ramli, 24, disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka semalam selepas sembilan hari bertarung nyawa akibat nahas yang berlaku kira-kira jam 8.22 pagi 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata ketika kejadian, motosikal jenis yamaha 135LC ditunggang mangsa yang turut membonceng rakannya, Siti Hajar Abdullah, 24 datang dari arah Asahan menghala ke Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa yang memotong dari sebelah kiri sebuah lori bergesel mengakibatkan mangsa terjatuh dan cedera parah di kaki, anggota badan muka manakala pembonceng mengalami luka-luka.
“Selepas sembilan hari dirawat di Hospital Melaka, Farra Adrienna disahkan telah meninggal dunia semalam berpunca daripada jangkitan kuman dan organ tidak berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















