Senator Isaiah D. Jacob Slot (dua dari kiri) bersama ahli panel dalam sesi slot kedua “iNCLUSIVE: From Campus to Global Community” yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Pekan, hari ini.

PEKAN-  Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah tersendiri apabila pertama kalinya menganjurkan International Carnival on Inclusive Technology and Ecosystem (iNCLUSIVE) 2025.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr Yatimah Alias menyifatkan penganjuran iNCLUSIVE 2025 sebagai detik bersejarah yang memperkenalkan satu naratif baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara yang menggabungkan kecemerlangan teknologi dengan nilai kemanusiaan dan empati.

“iNCLUSIVE bukan sekadar program, tetapi satu platform untuk kita menzahirkan teknologi yang bersifat penyatu dan pemulih, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan seperti SDG 4, 9 dan 10,” ujarnya.

Antara pencapaian penting yang diumumkan dalam karnival ini ialah naik taraf Unit Perkhidmatan OKU UMPSA kepada Pusat Perkhidmatan Inklusif, memperkukuhkan lagi komitmen institusi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeluruh.

Menurutnya, pusat tersebut merangkumi sokongan infrastruktur, kurikulum, sokongan psikososial serta pembangunan kerjaya bagi pelajar berkeperluan khas.

Karnival iNCLUSIVE 2025 membawa tema ‘Education, Technology and Ecosystem‘ dan menghimpunkan tujuh program utama termasuk persidangan maya, pameran fizikal, forum hibrid serta klinik e-sukan yang mencerminkan pendekatan pelbagai dimensi dalam menyampaikan teknologi kepada semua.

Sebanyak 23 reruai pameran dari pelbagai agensi tersedia bagi kunjungan peserta pada hari ini.

Karnival ini turut menampilkan dua sesi forum utama bertemakan Perkongsian Amalan Terbaik yang berlangsung secara hibrid.

Sesi perkongsian itu menekankan aspirasi membawa nilai-nilai inklusif dari peringkat kampus ke peringkat global, seiring dengan usaha Malaysia memperkukuh peranan dalam kerangka pembangunan serantau dan antarabangsa.

Melalui karnival ini, UMPSA sekali lagi membuktikan peranannya sebagai universiti teknikal terunggul yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah menjadikan prinsip inklusiviti sebagai teras pembangunan institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast