BUTTERWORTH – Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang ahli keluarganya dalam kejadian di Pangsapuri Ampang Jajar di sini, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh bermula hari ini sehingga 1 Jun depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette difahamkan, pihak polis menerima laporan daripada isteri mangsa berusia 32 tahun yang mendakwa suaminya berumur 35 tahun pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah di kepala sebelum tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 malam.
Mangsa yang dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh pasukan ambulan disahkan mengalami pendarahan di bahagian otak serta paru-paru selain mengalami kecederaan pada tulang belakang.
Susulan itu, polis menahan suspek suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah awal pagi tadi.
Selain itu, hasil siasatan awal juga mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dengan anak saudaranya dan mangsa dikatakan memukul pak ciknya sebelum masing-masing terjatuh di pekarangan bawah pangsapuri berkenaan.
Bagaimanapun, pihak polis masih belum dapat merakam keterangan mangsa memandangkan keadaannya yang tidak stabil dan separa sedar.
Difahamkan, mangsa dan suspek masing-masing positif dadah. – MalaysiaGazette
















