Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bersama salah seorang keluarga mangsa sindiket luar negara di Kedutaan Myanmar hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kerajaan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memimpin usaha serantau menangani isu pemerdagangan manusia, khususnya yang melibatkan rakyat Malaysia di Asia Tenggara.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini pihaknya menerima pelbagai aduan berkaitan rakyat Malaysia yang diperdaya dengan tawaran kerja palsu sebelum dipaksa bekerja di pusat-pusat penipuan di negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.

Katanya, ramai antara mereka dipukul, dikurung, diperlakukan kejam serta keji dan dijadikan buruh paksa yang menyebabkan isu ini bukan lagi bersifat domestik sebaliknya adalah krisis kemanusiaan rentas sempadan amat serius ketika ini.

Susulan gesaan ini, lebih 20 keluarga mangsa akan hadir ke Putrajaya esok bagi menyerahkan rayuan secara terus kepada kerajaan dan ASEAN supaya segera menyelamatkan anak-anak mereka yang masih terperangkap.

“MHO menyeru agar ASEAN menubuhkan satu pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaraskan siasatan, usaha menyelamat dan pemulangan mangsa pemerdagangan manusia ke negara asal.

“Pasukan ini harus disokong dengan mekanisme penguatkuasaan dan pertukaran maklumat yang kukuh antara negara-negara anggota ASEAN.

”Kita juga gesa semua negara ASEAN menutup segera semua pusat scam yang dikenal pasti, kerana pusat-pusat ini adalah simbol kegagalan dasar perlindungan manusia di rantau ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Difahamkan, MHO juga akan menyerahkan sepucuk surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mencadangkan agar tindakan diplomatik lebih agresif diambil terhadap negara-negara yang masih gagal mengawal kegiatan jenayah ini.

Kata Hishamuddin lagi, pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah peluang strategik untuk mengetuai inisiatif kemanusiaan dan keadilan serantau.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, kita yakin isu ini dapat diketengahkan dengan tegas dan berprinsip,” kata Hishamuddin.

Tambahnya, MHO sentiasa tampil menyuarakan kebimbangan terhadap lambakan kes-kes baharu yang melibatkan rakyat Malaysia ditipu dan dilarikan ke luar negara.

Menurutnya, isu ini semakin ‘berkembang seperti cendawan selepas hujan’ dan memerlukan pendekatan serantau yang menyeluruh serta menyentuh aspek dasar, keselamatan, dan hak asasi manusia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast