GEORGE TOWN – Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menegaskan pendiriannya untuk terus kekal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) walaupun tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Menurut beliau, jawatan yang dipegang kini adalah satu tanggungjawab yang diberikan oleh parti dan beliau tidak akan sesekali mengabaikannya.
“Saya ada pendirian sendiri dan apa yang saya lakukan adalah mengikut amanah yang diserahkan oleh parti.
“Selagi penggal ini belum tamat, saya akan terus menjalankan tugas saya sebagai Exco,” katanya kepada pemberita hari ini,
Kenyataan itu dibuat ketika ditanya sama ada beliau akan mengikuti jejak langkah Datuk Seri Rafizi Ramli yang melepaskan jawatan Menteri Ekonomi susulan gagal merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
Fahmi yang memegang portfolio Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi berkata, beliau kekal setia kepada PKR dan sentiasa patuh terhadap sebarang keputusan kepimpinan parti.
“Saya orang parti, parti kata ‘A’, saya ikut ‘A’. Parti minta saya kekal, maka saya patuh,”katanya.
Mengulas mengenai situasi dalaman parti selepas keputusan pemilihan, beliau menegaskan tiada sebarang tekanan diterima daripada mana-mana pihak berhubung kedudukannya sebagai Exco.
“Semuanya tenang, tiada desakan pun,” katanya lagi.
Dalam pemilihan cabang PKR Pulau Pinang yang berlangsung sebelum ini, Fahmi yang juga ADUN Pantai Jerejak gagal dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Jelutong, apabila hanya memperoleh 181 undi berbanding 208 undi yang diperoleh Johari Kassim.
Beliau turut tidak berjaya menempatkan diri dalam saf kepimpinan peringkat pusat dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP). – MalaysiaGazette
















