MELAKA – Polis Melaka menahan tiga pemandu lori selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk, berada di bawah pengaruh dadah dan berbahaya dalam satu operasi khas selama dua minggu berakhir Selasa lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam operasi itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mensasarkan kesalahan dilakukan kenderaan semua jenis perdagangan terutamanya bas dan lori.
Menurutnya, sebanyak 1,248 buah kenderaan perdagangan telah diperiksa menyaksikan 700 keping saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 200 keping saman dikeluarkan terhadap lori manakala 18 buah lagi kenderaan berat itu telah ditimbang dan empat daripadanya disita kerana membawa melebihi had yang dibenarkan.
“Polis turut menahan tiga lelaki selepas dipercayai melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah selain memandu secara berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnnya ketiga-tiga kesalahan itu membabitkan mabuk, dadah dan memandu secara berbahaya disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 APJ.
“Polis Melaka akan terus komited melakukan operasi secara berkala melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.
















