Warga tentera mengambil peluang merakamkan gambar bersama Ab Rauf diRumah Kuaters Angkatan Tentera Desa Tun Razak, Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diperkenalkan kerajaan negeri bukanlah untuk menuding jari sebaliknya mengorek dan menyelesaikan isu akar umbi secara harmoni.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Rais Yasin, berkata, program yang bersifat mikro itu melibatkan semua agensi berkaitan dan semua lapisan rakyat.

“WRUR bukan sahaja mikro, saya boleh katakan ini adalah program yang melibatkan agensi sehinggalah ke akar umbi. Maknanya isu orang kampung itu sendiri kita tengok.

“Kadang-kadang mungkin aduan itu tak sampai tapi kita tak nak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya turun untuk selesaikan masalah,” katanya.

Rais Yasin

Beliau berkata demikian pada Program Gotong Royong Perdana Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh Bersama Warga Tentera di Rumah Kuaters Angkatan Tentera Desa Tun Razak di Sungai Udang di sini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata WRUR tidak semajarnya menjadi polemik atau dipolitikkan.

“Mungkin ada aduan yang kadang-kadang telah kita terima bertahun-tahun lamanya tetapi kita tidak mencari siapakah punca kesalahan itu sebaliknya bagaimana nak menyelesaikannya.

“Ini amat bertepatan rangka program WRUR untuk merakyatkan agensi itu sendiri,” katanya.

WRUR yang bermula sejak Januari lalu membabitkan kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka berakhir pertengahan tahun depan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast