Tertuduh Muhammad Aiezad Asni, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar sekolah lelaki berusia 15 tahun pada 23 Mei lalu.

MELAKA – Seorang guru sebuah sekolah agama di Jasin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pelajar lelaki di bilik warden asrama, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiezad Asni, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun dengan cara menggosok kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan di bilik warden asrama lelaki sebuah sekolah dalam daerah Jasin kira-kira pukul 5 pagi 23 Mei 2025.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu Tmbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak menawarkan jaminan tetapi mencadangkan RM30,000 jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara.

Pihak pendakwaan juga memohon syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi, pasport diserahkan kepada mahkamah dan jaminan terbatal jika melanggar syarat berkenaan.

Peguam Farriz Minarwan Basaruddin yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung ahli keluarga dan ibu bapanya berusia 68 dan 72 tahun yang sakit selain ditukarkan ke pejabat pendidikan daerah (PPD) sejak 28 Mei 2025.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kes akan disebut semula 15 Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast