Seorang lelaki Pakistan maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan treler di Lebuh Raya Utara-Selatan, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah treler sebelum digilis dan diseret sejauh 100 meter di Kilometer 55, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 12.05 pagi itu mengorbankan Sajjad Ali, 30, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan dari arah Simpang Renggam menghala ke Johor Bahru.

“Siasatan mendapati treler jenis Renault dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa di lorong kiri jalan.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan digilis sebelum diseret sejauh kira-kira 100 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Katanya, pemandu treler yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast