Francis (tengah) bertemu dengan wakil Pejabat Menteri Komunikasi, Ahmad Fazley Ahmad Suhaimi di Putrajaya, hari ini.

GEORGE TOWN – Persatuan Damai Revolusi Masyarakat menyambut baik keprihatinan yang ditunjukkan Kementerian Komunikasi susulan gesaan haramkan PK Battle di TikTok yang dibawa mereka diberi perhatian sewajarnya.

Ia susulan satu pertemuan antara persatuan dan wakil Pejabat Menteri Komunikasi, Ahmad Fazley Ahmad Suhaimi yang berlangsung hari ini, di Putrajaya.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, perhatian yang diberikan membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani isu keselamatan digital yang melibatkan generasi muda, khususnya penggunaan aplikasi media sosial oleh kanak-kanak bawah umur.

“Dalam sesi tersebut, wakil kementerian memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung isu aktiviti “PK battle” dalam aplikasi TikTok yang dipercayai merosakkan akhlak generasi muda.

“Ahmad Fazley turut memberitahu kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial, selaras dengan garis panduan sedia ada.

“Selain itu, beliau turut memaklumkan isu yang diusulkan ini mendapat perhatian daripada Menteri Komuniskasi, Datuk Fahmi Fadzil sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Francis, kementerian juga memandang serius isu ini dan akan mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti langkah sewajarnya agar generasi muda tidak terus terdedah kepada kandungan serta aktiviti yang boleh memudaratkan mereka menerusi PK Battle itu.

“Dalam pertemuan sama, kita turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mendidik masyarakat dan menyampaikan kesedaran mengenai keselamatan digital dan tanggungjawab dalam penggunaan media sosial,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

NGO hantar memorandum, minta campur tangan Agong haramkan PK Battle

Trend PK Battle bercanggah dengan ajaran Islam – Mufti P.Pinang

MalaysiaGazette pada Rabu lalu melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menuntut penggunaan ciri PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan dalam negara.

Mereka juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.

Pengerusinya, L. Francis mendakwa aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual, serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyifatkan trend PK Battle dalam kalangan pengguna TikTok bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ia menggalakkan pembaziran harta, hiburan melampau serta perlakuan yang merendahkan maruah manusia.

Dr Mohd Sukki menegaskan bahawa Islam melarang sebarang bentuk pembaziran dan menyeru umatnya untuk memanfaatkan harta serta masa secara berhemah.

“Trend PK Battle merupakan satu bentuk hiburan yang tidak mendidik sebaliknya memperlihatkan budaya menunjuk-nunjuk, mengejar populariti dan memperagakan diri demi mendapatkan sumbangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast