KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan ucapan Selamat Hari Wartawan kepada seluruh warga media di Malaysia, khususnya kepada para wartawan di negeri Pahang Darul Makmur.

Baginda berdua amat menghargai sumbangan besar para wartawan yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kewartawanan yang beretika, berintegriti serta berani menyuarakan kebenaran.

Dalam era ledakan maklumat yang serba pantas ini, peranan wartawan sebagai penyampai maklumat yang sahih, telus dan seimbang amat penting dalam membentuk masyarakat yang celik dan bertanggungjawab.

Baginda berdua percaya, para wartawan bukan sahaja menjadi mata dan telinga rakyat, tetapi juga sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat dalam menyampaikan suara serta keperluan masyarakat.

Di Pahang, peranan media dalam menyebarkan maklumat pembangunan, pendidikan, kebajikan serta pelbagai penulisan yang membina amatlah dihargai.

Baginda berdua mendoakan agar semua wartawan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan iltizam untuk meneruskan perjuangan suci ini demi kebaikan negeri dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast