Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

JOHOR BAHRU – Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meletak semua jawatan dalam UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi yang membuat desakan itu berkata, UMNO perlu menyemak semula akujanji yang ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tegasnya, ini termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan itu dikira sebagai lompat parti.

“Saya akan mendesak UMNO semak balik akujanji semasa Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15. Apakah Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya Facebook miliknya hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, isu penyertaan Zafrul ke dalam PKR akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT akan datang sambil menggesa UMNO mengambil pendirian lebih keras terhadap tindakan itu.

“Saya pasti akan membangkitkan isu Tengku Zafrul mahu menyertai PKR dalam mesyuarat MKT akan datang,” ujar beliau.

Beliau berkata, UMNO tidak boleh hanya menyatakan kekesalan jika PKR menerima Zafrul, sebaliknya mesti menegur Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka.

“UMNO juga mesti menegur Presiden PKR jika permohonan Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan UMNO rasa kesal.

“Mesti ada perbincangan awal secara sulit yang jadi punca Zafrul sertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan PKR menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi parti terhadap Anwar dan kerajaan Perpaduan.

“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli-ahli UMNO hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama kerajaan perpaduan akan rosak binasa,” katanya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pada malam tadi, Tengku Zafrul yang juga Ahli MKT UMNO berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak 1997.

Pada Disember tahun lalu, Tengku Zafrul mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama-sama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast