JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah membebaskan penceramah agama yang ditahan di sebuah rumah di Pasir Gudang pada malam Rabu lalu kerana memberi ceramah tanpa tauliah.
Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, lelaki tempatan berusia 50 tahun itu sudah dibebaskan dengan jaminan kelmarin.
“Selepas ditahan pada pukul 8.30 malam Rabu lalu, dia dibebaskan keesokannya, sebelum dipanggil semula semalam.
“Dia akan dipanggil semula sekali lagi pada 3 Julai depan. Dia memberikan kerjasama baik sepanjang tahanan dan siasatan dilakukan. kes ini masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Nasri mengesahkan Unit Penguatkuasaan dan Pematuhan JAINJ menahan penceramah agama berasal dari Terengganu itu di Pasir Gudang, dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.
Katanya, perbuatan mengajar tanpa tauliah membabitkan penceramah itu adalah antara aduan yang dibawa dalam makluman mesyuarat ahli majlis Mei ini dan terdapat arahan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah bagi JAINJ mengambil tindakan.
“Mengikut rekod, pada 2016, penceramah ini pernah ditahan atas kesalahan sama. Tahun 2020, jabatan ada buat serbuan juga, tetapi dia berjaya lepaskan diri ketika majlis ceramah beliau. Ini kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya atas kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengajar,” katanya.
Sebelum ini tular hantaran yang berkongsi satu rakaman video memaparkan Ustaz Mat Esa Deraman atau Tokku Pasir Gudang ditahan ketika mengajar di Pasir Gudang. – MalaysiaGazette
















