[ARKIB] Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 FEBRUARI 2025

GAZA – Hamas mengumumkan bahawa mereka telah menghantar respons terhadap cadangan gencatan senjata daripada utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff, dengan menyatakan 10 tebusan yang masih hidup akan dibebaskan dari Gaza di bawah perjanjian tersebut.

White House sebelum ini berkata, syarat terkini untuk perjanjian itu telah dipersetujui terlebih dahulu oleh Israel, yang pada Jumaat memberi amaran kepada Hamas supaya menerima perjanjian itu dan membebaskan tebusan “atau berdepan pemusnahan”.

Kumpulan Palestin itu bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas sama ada mereka menerima atau menolak cadangan yang diterima, Khamis lalu.

Menurut laporan, cadangan tersebut turut mengandungi syarat untuk membebaskan 10 tahanan hidup serta tempoh gencatan senjata mestilah sekurang-kurangnya 60 hari.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Hamas berkata mereka telah “mengemukakan maklum balas terhadap cadangan terkini Utusan Khas AS, Steve Witkoff, kepada pihak-pihak pengantara”.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, 10 tahanan hidup pihak penjajah yang ditahan oleh pihak pejuang akan dibebaskan, selain pemulangan 18 mayat, sebagai pertukaran dengan bilangan tahanan Palestin yang dipersetujui bersama,” tambah kenyataan itu.

Usaha rundingan untuk mencapai kemajuan telah menemui jalan buntu sejak gencatan senjata sebelum ini runtuh pada 18 Mac dengan penyambungan semula operasi oleh Israel.

Namun Presiden AS, Donald Trump, berkata pada Jumaat bahawa pihak-pihak yang terlibat kini “sangat hampir dengan satu perjanjian”.

Hamas bertegas bahawa sebarang perjanjian mesti merangkumi jalan ke arah menamatkan perang secara kekal, namun cadangan itu adalah sesuatu yang ditentang oleh Israel.

Dua sumber yang dekat dengan rundingan berkata, cadangan Witkoff melibatkan gencatan senjata selama 60 hari, dengan kemungkinan dilanjutkan hingga 70 hari.

Perjanjian itu akan menyaksikan lima tebusan hidup dan sembilan mayat dibebaskan sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin pada minggu pertama, diikuti dengan pertukaran kedua pada minggu berikutnya, kata sumber tersebut.

Daripada 251 tebusan yang diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang, 57 masih berada di Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel telah meninggal dunia.

“Selepas 603 hari perang, kami ingin mengingatkan semua bahawa perang adalah satu cara, bukan matlamat,” kata kumpulan utama yang mewakili keluarga tebusan dalam satu kenyataan.

Masyarakat Israel kini “bersatu dalam satu konsensus”, iaitu membawa pulang semua tebusan yang masih tinggal “walaupun dengan mengakhiri perang”, tambah Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang.

Israel, bagaimanapun, tetap bertegas dengan keperluan untuk memusnahkan Hamas, dan baru-baru ini meningkatkan kempen tenteranya di Gaza dalam usaha menewaskan kumpulan tersebut.

Namun Israel kini semakin dikritik oleh masyarakat antarabangsa susulan situasi kemanusiaan yang semakin buruk di wilayah Palestin itu, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa keseluruhan penduduknya berisiko dilanda kebuluran.

Minggu ini, jurucakap agensi kemanusiaan PBB menyifatkan wilayah itu sebagai “tempat paling lapar di dunia”.

Bantuan hanya memasuki Gaza dalam jumlah yang sangat kecil selepas Israel melonggarkan sekatan selama lebih dua bulan, dan PBB baru-baru ini melaporkan kejadian rompakan terhadap trak dan gudang bantuan mereka.

Program Makanan Sedunia (WFP) menggesa Israel “untuk membenarkan kemasukan bantuan makanan dalam jumlah yang jauh lebih besar ke Gaza dengan segera”, sambil menyatakan bahawa keputusasaan rakyat “menyumbang kepada peningkatan ketidakstabilan keselamatan”. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast