KUALA LUMPUR – Biro Undang-Undang UMNO telah diminta meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang Senator susulan keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar parti itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.
Menurut beliau, UMNO menghormati kebebasan setiap individu dalam membuat pilihan politik, namun menegaskan setiap perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang adalah atas mandat parti yang diwakili, bukan atas kapasiti peribadi.
“Walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mempengerusikan Majlis Perpaduan, setiap Menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.
“UMNO tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO termasuk sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT); Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Serentak itu, Tengku Zafrul yang lantikan Senatornya akan berakhir pada Disember depan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, Azalina menyeru ahli dan penyokong UMNO supaya kekal fokus kepada pembangunan negara.
“Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal,” katanya. – MalaysiaGazette
















