KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencabar Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan dengan mencadangkan supaya keseluruhan Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ia susulan gesaan Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi sebelum ini supaya MCA dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan kerana didakwa sering menyerang Kerajaan Madani dengan fakta salah dan separuh masak.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, BN menyertai Kerajaan Perpaduan dalam sebuah pasukan yang mana MCA merupakan sebahagian daripadanya.
“Maka jika mahu `nyah’ seorang dari keluarga kami, maka saya cabar YB Bangi (Syahredzan) untuk buat usul kepada kerajaan perpaduan untuk keluarkan BN semua sekali dari kerajaan ini!!!
“Bila kena tegur, meroyan tuduh orang sana sini.
“Jawab pon dengan angkuh.
“Saya tunggu YB Bangi berani atau tidak sahut cabaran saya tu…” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Syahredzan menyifatkan adalah lebih baik untuk MCA keluar sahaja daripada Kerajaan Perpaduan berikutan tindak-tanduk pemimpinnya khususnya Presiden, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang berterusan menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang salah dan separuh masak.
Terbaharu, ujarnya, berkenaan pertikaian peraturan pemansuhan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang mana dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mana Ka Siong merupakan salah seorang menteri dalam Kabinet itu.
Menurut Syahredzan, beliau tidak pernah menyatakan pandangan berhubung tindakan MCA yang bertali arus menyerang kerajaan Madani, meskipun kononnya berada dalam blok kerajaan.
Bagaimanapun, tegasnya, beliau terpaksa mengulas kali ini selepas pemimpin MCA terus membangkitkan pelbagai isu seperti penjualan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); MyKiosk dan terbaharu berkenaan isu tong gas LPG.
“Kalau asyik menyerang Kerajaan MADANI dengan ‘half-truths’ dan fakta yang salah, sudah terang lagi bersuluh MCA tidak ikhlas bersama dengan Kerajaan ini.
“Ada baiknya mereka nyah sahaja dari kerajaan ini,” kata Syahredzan menerusi laman sosial Facebooknya hari ini. – MalaysiaGazette
















