FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) susulan kejayaan merangkul kemenangan pada perlumbaan pusingan kedua di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand dalam siri GT World Challenge Asia.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah bermakna sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

“Kemenangan JMR meraih tempat pertama pada perlumbaan hari ini dan tempat kedua semalam (31 Mei) adalah hadiah yang manis kepada saya bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Tahniah saya ucapkan kepada anak saya (Tunku Panglima Johor (TPJ) Tunku Abdul Rahman Al-Haj) dan rakan sepasukannya, Ben Green di atas kejayaan cemerlang.

“Bagi seorang lagi anak saya (Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj), jangan sedih atau berputus asa, teruskan perjuangan di pentas perlumbaan akan datang,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, JMR dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan itu meraih kedudukan podium pada pusingan kelima dan keenam kejohanan GT World Challenge Asia.

Kejayaan itu turut menyaksikan Tunku Abdul Rahman melonjak ke tangga teratas kedudukan keseluruhan pemandu dengan kelebihan  62 mata ketika saingan memasuki pertengahan musim.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast