Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berucap pada Majlis Pelancaran Album Patriotik #tonggaknegara di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 22 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menyesuaikan pendekatan, mesej dan cara menyampaikan perjuangannya kepada pelbagai kumpulan rakyat dalam melangkah ke usia 51 tahun hari ini.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, elemen itu perlu disuburkan semula bukan sekadar melalui pembaharuan imej, tetapi melalui semangat dan nilai perjuangan yang lebih segar dan relevan.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, BN tidak boleh lagi bergantung pada nostalgia memandangkan zaman telah berubah dan suasana politik hari ini juga jauh berbeza.

“Profil pengundi kini lebih beragam dan kritikal. Generasi muda mempunyai harapan yang lain, cara berfikir yang berbeza, dan tuntutan yang lebih tinggi terhadap integriti dan keberkesanan,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun BN ke-51, hari ini.

Tambah Salleh, usia 51 tahun bukan satu satu tempoh yang singkat buat BN yang mana sepanjang lebih lima dekad, parti itu telah melalui pelbagai fasa iaitu dari zaman kegemilangan hinggalah kepada saat-saat kekalahan.

Namun, kata beliau, bakti serta sumbangan BN kepada negara terlalu besar untuk dinafikan dan ia membina asas pembangunan, membawa kestabilan dan menjadi teras politik Malaysia selama berpuluh-puluh tahun.

“Apa pun perubahan yang dilakukan, kunci utama perjuangan BN tetap sama: kesederhanaan dan keadilan untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast