KUALA LUMPUR — Langkah drastik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus mencetuskan gelombang reaksi dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti.
Antara yang paling lantang bersuara ialah Ketua Cawangan UMNO Sungai Nipah Darat, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang secara sinis menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan seorang pemimpin yang sanggup menggadaikan prinsip demi kuasa.
“Pemimpin yang mempertahankan maruah tidak akan tunduk kepada tekanan kuasa. Sebaliknya, dia akan memimpin dengan prinsip dan dihormati sepanjang zaman,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Anak sulung kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut mempersoalkan kredibiliti dan pengorbanan Tengku Zafrul sepanjang bersama UMNO, sebelum kini tampil dengan wajah politik baharu dalam PKR.
Menurutnya, rakyat kini lebih matang dalam menilai keikhlasan pemimpin dan mampu membezakan antara perjuangan tulen dengan politik berkepentingan.
“Dalam dunia politik yang makin kabur garis kebenaran dan kepalsuan, maruah adalah satu-satunya pusaka yang masih boleh menyelamatkan seorang pemimpin daripada menjadi bahan sejarah yang dipandang hina,” ujar Nurulhidayah.
Beliau turut melontarkan kebimbangan terhadap arah tuju PKR jika parti itu menerima penyertaan seperti Tengku Zafrul tanpa asas moral atau penjelasan terbuka yang kukuh.
“Jika prinsip adalah asas, maka penerimaan Tengku Zafrul perlu sangat berhati-hati. Tanpa penjelasan dan pengorbanan moral yang jelas daripada beliau, tindakan ini boleh dilihat sebagai kompromi kepada idealisme asal PKR itu sendiri,” katanya lagi.
Tambah beliau, sekiranya PKR gagal mengurus isu ini secara telus, ia boleh menjejaskan imej reformasi yang selama ini menjadi tunjang perjuangan parti itu sejak penubuhannya.
“Jika tidak ditangani dengan telus dan terbuka, ini boleh mencalarkan imej Anwar Ibrahim sebagai tokoh reformasi dan seluruh kepimpinan PKR secara menyeluruh,” ujar Nurulhidayah, merujuk kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan pengundurannya daripada UMNO menerusi kenyataan di media sosial. Beliau menyifatkan keputusannya sebagai satu langkah yang lahir daripada pertimbangan mendalam, tanpa tekanan atau paksaan mana-mana pihak.
Tengku Zafrul kini menanti proses permohonan rasmi untuk menyertai PKR diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti tersebut. – MalaysiaGazette
















