Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menyindir tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini sedia untuk menerima penyertaan tokoh luar ke dalam parti itu, walaupun sebelum ini lantang mengkritik tindakan sama apabila melibatkan pihak lain.

Beliau merujuk kepada insiden lompat parti oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin PKR yang menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang ikecam hebat oleh kepimpinan serta penyokong parti berkenaan.

Namun, Akmal berkata, kepimpinan parti itu jelas menukar nada masing-masing apabila individu seperti Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyertai parti tersebut yang mencerminkan reaksi yang jauh berbeza.

“Masa Azmin Ali dan geng lompat dari PKR dulu, bukan main lagi kena hentam. Macam-macam dikata pada mereka.

“Tapi bila orang lain lompat masuk parti mereka, semua baik-baik belaka ya,” tulis Akmal di media sosial.

Akmal merujuk kepada kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim yang berkata penyertaan Tengku Zafrul mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama PKR membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.

Malah Kamil berkata, hal ini sejajar dengan komitmen parti berkenaan untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.

Beliau menyatakan bahawa prinsip politik sepatutnya kekal konsisten tanpa mengira siapa yang terlibat.

“Baru tahu rupanya prinsip berpolitik ni boleh berubah ikut situasi. Tahniah ler,” katanya lagi dengan nada sinis.

Dalam pada itu, Akmal berkata, rakyat kini bijak menilai dan mampu melihat percanggahan antara kata-kata dan tindakan sesetengah pihak dalam berpolitik.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedudukan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) itu tidak terjejas biarpun beliau mengumumkan keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR.

Malah Anwar berkata, Tengku Zafrul sudah memainkan peranan penting dalam menarik kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion ke dalam negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast