KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya ada pemimpin tertentu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang giat melobi jawatan Menteri Kabinet dengan mengumpul tanda tangan adalah memalukan.
Bahkan, usaha begini adalah tindakan tidak wajar dan menyalahi nilai perjuangan PKR, menurut Ketua Cabang PKR Tapah, Azam Afandi.
Ia kerana, PKR adalah parti yang dibina atas asas perjuangan reformasi, menolak budaya politik elitis dan naungan.
Oleh itu, budaya melobi demi jawatan bukanlah amalan PKR.
“Kalau pun ia berlaku, saya percaya ia hanya membabitkan segelintir individu, bukan mencerminkan pendirian majoriti dalam parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Azam turut menafikan sebarang penglibatan dalam isu lobi jawatan menteri yang didakwa berlaku dalam parti dan menegaskan tiada bukti rasmi atau sahih yang dikemukakan setakat ini.
“Saya tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak, kerana setakat ini tiada maklumat rasmi atau bukti sahih yang dikemukakan kepada saya,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan dakwaan bekas timbalan komunikasi PKR Sabah, Fekirie Gobet, seorang pemimpin PKR sedang giat menghubungi ketua cabang, termasuk mengumpul tanda tangan bagi meraih sokongan melobi jawatan menteri.
Gerakan ini dipercayai berlaku ekoran peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, minggu lalu. – MalaysiaGazette
















