KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak perlu meletakkan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ketika negara sedang beralih kepada ekonomi digital dan perindustrian berimpak tinggi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Rizwan Shah Azlan berkata, tidak wajar Tengku Zafrul didesak melepaskan jawatan di saat penting ini, lebih-lebih lagi prestasi dan rekod pencapaian beliau yang konsisten.
“Dunia sedang berdepan ketegangan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan global, ketidaktentuan pasaran komoditi, tekanan inflasi dan keperluan memperkukuh daya saing pelaburan negara.
“Malaysia juga sedang memperhebat usaha peralihan ekonomi berteraskan digital, teknologi hijau dan perindustrian berimpak tinggi.
“Ketika negara memerlukan barisan Kabinet yang terbaik, tenaga dan kepakaran seperti beliau tidak seharusnya diletakkan di bangku simpanan,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sabtu lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.
Dalam pada itu, Rizman juga berkata, semua pihak harus menghormati hak Tengku Zafrul sebagai individu untuk menentukan hala tuju politik, mengambil kira pelbagai faktor termasuk keserasian dan kesesuaian dalam perjuangan politiknya.
“Keputusan ini pastinya bukan sesuatu yang mudah bagi Tengku Zafrul, memandangkan beliau telah bersama UMNO sejak 1997.
“Sepanjang saya berkhidmat bersama beliau di Pejabat Setiausaha Politik Menteri di MITI, saya menyaksikan sendiri tahap profesionalisme, integriti dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri.
“Beliau sentiasa menekankan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi dan ini jelas terpancar dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil,” katanya.
Selain itu, katanya, ada pihak berpendapat sesiapa sahaja boleh melaksanakan tugas seperti Tengku Zafrul jika diberikan peluang sama, namun beliau berpendapat sebaliknya.
“Beliau sudah pun diberikan pendedahan untuk menerajui syarikat-syarikat besar sejak umur muda lagi. Kepimpinan beliau yang berteraskan pengalaman luas dalam sektor kewangan dan pentadbiran kerajaan telah membawa banyak manfaat kepada negara, terutamanya dalam bidang pelaburan, perdagangan dan industri.
“Tidak salah jika beliau mencari tempat untuk terus menyumbang kepada negara,” katanya.
Beliau percaya keputusan Tengku Zafrul itu terbaik untuk dirinya dan keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan yang mendalam demi kepentingan negara.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus menghormati dan menyokong individu yang berusaha untuk membawa perubahan positif kepada negara, tanpa mengira latar belakang politik.
“Saya juga yakin jika beliau diberikan peluang, beliau akan menjadi ahli politik yang mampu kita banggakan tidak kira di mana beliau berada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















Isunya dia jd Menteri atas kapasiti UMNO..berbeza dgn Menteri Kewangan II dan Menteri Hal Ehwal Agama..jika UMNO taril sokongan jgn kata Menteri MITI, Perdana Menteri pun akan hilang jawatan..