KUALA LUMPUR – Pelakon, Amar Baharin bersyukur berpeluang menyerahkan pek makanan kepada jemaah serta orang ramai di Masjid Nabawi, Madinah sekaligus menunaikan hajat semua penyumbang.
Amar, 39, berkata, sumbangan tersebut adalah hasil infak ramai dermawan sepanjang Misi Journey to Tanah Haram bersama rakannya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.
“Alhamdulillah semua duit infak yang diberi sebelum mula perjalanan, di tengah perjalanan dan sesudah sampai di Tanah Haram Madinah telah saya infakkan menerusi [email protected] untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu turut menzahirkan penghargaan terhadap semua individu dan penyumbang yang bermurah hati berkongsi rezeki.
“Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah,” ujar pemilik nama sebenarnya Amar Mohf. Baharin itu.
Sementara itu, misi kayuhan Amar dan Qobin sampai ke penghujungnya selepas selamat tiba di Masjid Nabawi pada 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu tempatan), Khamis lalu.
Dua sahabat itu memulakan perjalanan sejak 27 April lalu yang disempurnakan pelepasannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra. – MalaysiaGazette
















