KAJANG – Seramai 44 orang banduan yang menjalani hukuman di Penjara Kajang di sini, terpilih untuk mengikuti Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena perayaan Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi.
Daripada jumlah tersebut, seramai 39 orang banduan berlesen (OBB) adalah dari Penjara Kajang, manakala, lima lagi dari Penjara Wanita Kajang.
Pengarah Penjara Kajang, Mohd Sharin Sabtu berkata, seramai 17 OBB akan kembali bersama keluarga sementara, 19 OBB lagi menerima tawaran pekerjaan dengan syarikat swasta.
Katanya, seramai tiga OBB ditempatkan di Rumah Komuniti Peluang Kedua dan Rumah Kepercayaan dan selebihnya lima orang lagi ditempatkan di Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Sepanjang tahun 2025, bermula Januari sehingga Mei, seramai 687 OBB dari Penjara Kajang telah dilepaskan bagi menjalani pemulihan dalam komuniti, manakala seramai 62 OBB dari Penjara Wanita Kajang diluluskan bagi tujuan yang sama.
“Besarlah harapan saya agar semua OBB yang dilepaskan pada hari ini dapat menjaga disiplin dan juga tiada sebarang pelanggaran syarat PBSL dilaporkan oleh pejabat parol daerah,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Ihsan Madani Kepulangan Dinanti Peringkat Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu Mohd Sharin menjelaskan, PBSL merupakan peluang baru untuk OBB memulakan hidup yang lebih baik serta peluang untuk memperbaiki diri termasuk untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Ujarnya, segala kesilapan yang lalu bukanlah penentu kepada masa depan mereka sebaliknya, apa bagaimana untuk menghadapi masa depan dan menggunakan kebebasan yang ada untuk menjadi insan lebih baik.
“Seterusnya, kita harus berusaha dengan gigih untuk memperbaiki diri, menjaga hubungan dengan orang sekeliling dan memberi impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.
Matlamat utama PBSL adalah untuk memberikan pelepasan kepada prospek menjalani baki hukuman pemenjaraan di luar batasan penjara dan sebagai kesinambungan program pemulihan melalui refomasi Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan yang dijalankan di dalam penjara dengan mengikuti program pemulihan dalam komuniti di luar penjara.
PBSL juga bertujuan memberi peluang kepada prospek untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan komuniti selain memberi dorongan dan peluang Latihan serta kerjaya kepada prospek.
Galakan latihan dan kerjaya dibawah Program Corporate Smart Internship (CSI) iaitu kerjasama di antara penjara dan syarikat swasta berdaftar.
Kerjasama berkenaan dapat membangun kompentensi prospek dan seterusnya membantu prospek mencari peluang pekerjaan dan merancang masa hadapan mereka. – MalaysiaGazette
















