MELAKA – Seorang ejen insurans yang disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel seorang guru wanita yang juga madunya pada Mac lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia selepas reman selama dua hari terhadap wanita berusia 53 tahun itu tamat hari ini bagi membantu polis terhadap siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, suspek belum dituduh dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh di sini membenarkan ibu kepada empat anak itu direman selama dua hari selepas dipohon pengawai penyiasat.
Menurut sumber, wanita itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam Ahad lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh sepasukan polis.
Ia selepas seorang guru yang juga madunya berusia 47 tahun membuat laporan polis apabila mendapati gambar bogelnya bersama suami disebarkan dipercayai dilakukan wanita itu melalui surat yang dikirimkan kepada bapanya. – MalaysiaGazette
















