AIM2024 akan berlangsung di Arena Of Star, Genting Highland pada 13 September ini.

KUALA LUMPUR – Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) bakal kembali dengan lebih gah yang akan berlangsung di Arena Of Star, Genting Highland pada 13 September ini selepas tiga tahun tertangguh.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia RIM), Rosmin Hashim berkata, pemenang Album Terbaik akan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM200,000 yang diperuntukkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau yang juga Jawatankuasa Penganjur AIM24 berkata, tahun ini menyaksikan peningkatan besar dalam insentif kerajaan kepada pemenang-pemenang kategori utama AIM24.

“Menerusi skim DKK, sebanyak RM700,000 diperuntukkan Kementerian Komunikasi kepada 11 pemenang utama AIM24 berbanding RM320,000 kepada empat pemenang edisi lalu.

“Bagi anugerah utama iaitu Album Terbaik, pemenang akan menerima RM200,000 di mana dana ini bertujuan untuk menyokong penghasilan, promosi dan pengedaran kandungan kreatif berkualiti tinggi, sekali gus memberi impak langsung kepada pertumbuhan industri kreatif digital negara termasuk industri muzik tempatan,” katanya pada pelancaran AIM24, di sini, hari ini.

Menerusi skim DKK, sebanyak RM700,000 diperuntukkan Kementerian Komunikasi kepada 11 pemenang utama AIM24.

Selain itu, Rosmin turut memperkenalkan tiga kategori baru iaitu Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Katanya, AIM24 meneruskan usaha kami dalam memberi pengiktirafan kepada karya-karya cemerlang oleh para penggiat muzik selain penerima Anugerah Sri Wirama pula akan dipilih oleh Majlis RIM.

“Penambahan kategori seperti ‘Lagu Perpaduan Terbaik’ dan ‘Lagu Tradisional Terbaik’ mengangkat warisan budaya pelbagai kaum Malaysia.

“Manakala kategori ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ meraikan kejayaan artis kita yang mencipta nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Rosmi menambah, pihaknya turut berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas perluasan sokongan melalui dana DKK kepada pemenang AIM24.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Kami juga amat teruja dengan kerjasama pertama kami bersama RTM sebagai penyiar rasmi acara anugerah muzik utama negara ini,” tambah beliau.

AIM24 bakal menyaksikan sebanyak 31 kategori dipertandingkan dan RTM dipertanggungjawabkan sebagai penyiar rasmi.

Pencalonan bagi edisi tahun ini dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Tempoh pencalonan dibuka bermula hari ini dan akan berakhir pada 4 Julai depan pukul 5.00 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast