Na'imah Khalid

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan perintah pembekuan aset luar negara milik isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga bernilai 132 juta pound sterling (RM758.2 juta) disifatkan sebagai pencabulan hak asasi dan perundangan serta bermotifkan politik dendam.

Balu kepada Daim, Toh Puan Na’imah Khalid berkata, beliau terkejut apabila mengetahui tindakan pembekuan aset tersebut dan hanya tahu mengenainya melalui laporan media. 

“Ini merupakan satu pencabulan mengejut terhadap norma undang-undang yang paling asas. Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu preseden yang berbahaya.

“Bagaimana SPRM boleh memperoleh perintah pembekuan secara ‘ex parte’ tanpa kehadiran atau pengetahuan pihak kami. Ini adalah satu tindakan secara serang hendap yang jelas tidak selaras dengan prinsip keadilan.

“Saya sepatutnya dibenarkan untuk menyatakan pembelaan saya di mahkamah. Mereka memperoleh perintah tersebut secara rahsia, di sebalik pintu tertutup. Tiada peruntukan undang-undang membenarkan permohonan seperti ini.

”Kini mereka bersembunyi di sebalik selimut legaliti untuk menjustifikasikan sesuatu yang jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Na’imah mengulas permohonan SPRM yang dibenarkan Mahkamah Tinggi, di sini, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tujuh aset yang dibekukan kesemuanya di London ialah dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank sementara, akaun bank itu berdaftar atas nama Yayasan Ilham.

Difahamkan perintah mahkamah itu akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset berkenaan.

Sementara itu, Na’imah mendakwa tindakan itu adalah kempen berterusan yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki terhadap dan keluarganya sejak akhir 2022.

“Taktik-taktik ini adalah akibat langsung daripada kempen pemburukkan panjang dan berterusan terhadap Tun Daim dan keluarga saya.

“Apa yang lebih membimbangkan, tiada sebarang kesalahan jenayah pernah dibuktikan terhadap Daim semasa hayatnya, mahupun selepas kematiannya,” ujarnya.

Wanita itu juga menegaskan perintah pembekuan itu diperoleh di bawah AMLA yang mensyaratkan wujudnya kesalahan serius untuk sebarang tindakan pembekuan.

Namun dakwanya, setakat ini tidak ada sebarang pertuduhan pernah dikenakan terhadap beliau mahupun arwah suaminya.

“Adakah khabar angin, syak wasangka dan dendam politik kini mencukupi untuk merampas aset rakyat?” soal beliau.

Beliau memaklumkan bahawa peguamnya akan memfailkan cabaran undang-undang bagi membatalkan perintah pembekuan tersebut.

“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan hak yang tidak sepatutnya dirampas daripada mana-mana rakyat Malaysia. Ini adalah soal mempertahankan negara yang ditadbir oleh undang-undang, bukan ketakutan.

“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli. Kebenaran dan keadilan akan menang, kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa, ingatlah Surah Ash Shura, ayat 42-43,” ujar beliau.

Satu daripada bangunan komersial itu terletak di St Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 pada harga 23.7 juta pound sterling (RM136.2 juta) sementara satu lagi di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada harga 31.5 juta pound sterling (RM181 juta) pada Oktober 2014.

Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 37.8 juta pound sterling (RM217.3 juta) dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 31.2 juta pound sterling (RM179.4 juta).

Turut dibekukan, dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 8.1 juta pound sterling (RM46.5 juta). -MalaysiaGazette

3 kediaman mewah di London antara harta keluarga Daim bernilai RM758.2j dibeku SPRM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast