KUALA LUMPUR – Tiga kediaman mewah di London antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kesemuanya bernilai GB£132 juta (RM758.2 juta).
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan sebelah pihak (ex-parte) SPRM untuk membekukan kesemua harta itu yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid.
Hasil siasatan SPRM mendapati, harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Permohonan SPRM itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA bagi siasatan mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat ketika dihubungi media hari ini mengesahkan perkara itu.
Menurut beliau, pihak SPRM akan menyiasat perkara itu dan jika bukti mencukupi, pihaknya akan memohon kesemua hartanah dan akaun berkenaan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Artikel berkaitan:
- SPRM teruskan siasatan jejak kewangan aset luar negara Daim
- SPRM terima maklumat baharu harta, aset Allahyarham Daim di luar negara
- Cadangan lucut hak harta Allahyarham Tun Daim tak berasas – Peguam
Mahadi dalam afidavit sokongan melalui permohonan membekukan harta itu, menyatakan hasil siasatan yang dijalankan, berpuas hati bahawa harta alih dan tak alih iaitu berkaitan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA.
Kesemua harta itu ialah sebuah bangunan komersial yang beralamat di St Mary Axe, London yang dibeli pada bulan Julai 2013 dengan harga GB£23,700,000.
Sebuah lagi bangunan beralamat di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga GB£31,500,000.
Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews, London, telah dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga GB£37,870,000.
Sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London telah dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga GB£31,150,000.
Turut dibekukan, dua unit kediaman bersebelahan yang beralamat di Gloucester Place, London telah dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga GB£8,095,000 beserta satu akaun bank.
Mahadi menyatakan, alasan yang menyokong dapatan itu adalah siasatan terhadap harta berkenaan yang dimiliki oleh Na’imah dan keluarganya di luar negara di bawah AMLATFPUAA telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki pada sidang media berkata, pihaknya menerima maklumat terbaru dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi Daim dan keluarga.
Susulan itu pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
Azam berkata, aset berkenaan dikesan di Switzerland dan United Kingdom (UK) serta beberapa negara lain.
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham Daim sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023. – MalaysiaGazette

















mang ooii….banyaknya harta..sesi. soal-jawab. dah bermula