KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana telah memberi penjelasan berkait dengan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Dr. Mahathir, penjelasan itu melepaskannya daripada tuduhan-tuduhan bahawa beliau tidak mengikut proses yang betul dalam mendapatkan pengampunan untuk Anwar seperti tuduhan dalam beberapa tindakannya sebelum ini antaranya kes Pulau Batu Putih.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, sejak pengampunan Anwar diumum pada Mei 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapatnya dan yang tidak suka dengannya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut.
“Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Datuk Seri Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai PM pada bulan Februari 2020.
“Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada locus standi (hak).
“Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut perlembagaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Dr. Mahathir, walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu adendum di dalam titah Yang di-Pertuan Agong berkait dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Anwar timbul kembali.
Katanya, penyokong Najib mempertikai kenapa titah Yang di-Pertuan Agong tidak dituruti sedangkan apabila Anwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu boleh dilaksanakan.
Maka, tambahnya, pengamal undang-undang tampil lagi mempertikai proses pengampunan Anwar kerana berlaku percanggahan dari segi perlaksanaan pengampunannya berbanding dengan adendum tahan rumah Najib yang dikatakan telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
“Sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai,” katanya.
Namun, kini tambah Dr. Mahathir, timbul pula isu Anwar ingin mendapatkan “imuniti” (kekebalan) daripada menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya di atas tuduhan serangan seksual.
Katanya, bagi pengkritik Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan negara yang mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan daripada menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan.
Jelas beliau, tindakan Anwar meminta imuniti telah membuat beberapa pihak mengaitkan “keistimewaan” yang dipohon Anwar itu sama seperti “keistimewaan” yang diterimanya ketika mendapat pengampunan penuh.
“Pihak AGC harus sedar semua pertikaian berkenaan Datuk Seri Anwar saling berkaitan dan jika tidak ditangani akan menular menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan negara,” katanya.
Semalam, AGC menafikan dakwaan Dr. Mahathir bahawa pengampunan Anwar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 adalah tidak sah.
Dalam satu kenyataan, AGC mengambil maklum berhubung kenyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir mengenai pengampunan berkenaan, yang mana bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara terbuka menyatakan keputusan pengampunan Anwar adalah tidak sah kerana tidak melalui suatu persidangan Lembaga Pengampunan.
Sebelum ini, Dr. Mahathir dalam satu klip video TikTok mendakwa bahawa beliau telah menandatangani surat pengampunan tanpa nasihat Peguam Negara pada waktu itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengambil cuti rehat (garden leave) dan tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan. – MalaysiaGazette
















