KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai destinasi Asia keempat dengan carian tertinggi oleh pelancong Eropah untuk tahun kedua berturut-turut, menjelang cuti musim panas di Eropah.

Manakala Thailand, Indonesia, dan Jepun meraih kedudukan tiga teratas, manakala Vietnam muncul buat kali pertama di tempat kelima dalam senarai tersebut.

Dapatan daripada laporan Agoda ‘Trend Percutian Musim Panas Eropah ke Asia’ adalah berdasarkan carian penginapan untuk percutian pada bulan Julai dan Ogos, iaitu bulan kemuncak cuti musim panas bagi pelancong Eropah.

Di antara destinasi popular, Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi, dengan kenaikan 20% dalam carian berbanding tahun lepas.

China, yang mendapat manfaat daripada pengecualian visa yang diperkenalkan untuk beberapa pasaran Eropah, menunjukkan peningkatan 14%, sementara Sri Lanka meningkat sebanyak 13%.

Perancis, Itali, Sepanyol, United Kingdom, dan Netherlands kekal sebagai lima pasaran Eropah yang menjana carian tertinggi untuk perjalanan ke Malaysia, dengan sedikit perubahan kedudukan apabila Sepanyol mendahului United Kingdom berbanding tahun lepas.

Sementara itu, Perancis (+95%), Republik Czech (+95%), dan Poland (+74%) mencatatkan peningkatan carian tahun ke tahun tertinggi, mencerminkan minat yang semakin meningkat dan daya tarikan Malaysia yang semakin menyerlah dalam kalangan pelancong Eropah.

Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata,
Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi cuti musim panas pilihan utama pelancong Eropah.

Warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, dan keramahan warga Malaysia terus menarik perhatian pelancong yang mencari pelbagai pengalaman unik dan autentik.

Peningkatan 20% dalam carian tahun ini menunjukkan semakin ramai warga Eropah yang berminat untuk meneroka pelbagai tarikan ditawarkan di Malaysia semasa cuti musim panas mereka.

Sebagai pakar pelancongan di Asia, Agoda berbangga dapat membantu para pelancong untuk menerokai kedua destinasi popular dan juga yang sedang meningkat naik di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast