NIK Nazmi Nik Ahmad bergambar kenangan bersama kakitangan NRES semalam. - Foto: FB Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad memberi gambaran seolah-olah kekal dengan keputusan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini, Nik Nazmi yang sedang bercuti daripada jawatan itu berharap segala usaha dan kerja-kerja yang telah dimulakan beliau di kementerian tersebut akan terus disambung dan diperkasakan, meskipun di bawah kepimpinan baharu.

Menurut beliau, sepanjang tempoh menerajui kementerian itu, beliau berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana penjawat awam di NRES menjalankan tanggungjawab dengan penuh ketelitian terhadap amanah yang dipikul.

Katanya, dalam bidang yang menuntut kejelasan teknikal serta kepekaan terhadap isu-isu kritikal seperti perubahan iklim, biodiversiti, dan pengurusan sumber asli, penjawat awam di NRES telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk memastikan dasar-dasar yang digubal dapat dirakyatkan dengan sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada seluruh warga NRES atas dedikasi, komitmen, dan profesionalisme yang telah saya saksikan sepanjang tempoh perkhidmatan ini. Jumpa lagi di lain masa, dan jangan segan untuk menyapa saya di luar!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, menerusi hantaran sama, Nik Nazmi berkongsi berkenaan pertemuan beliau bersama warga penjawat awam NRES pagi semalam, yang disifatkan beliau menandakan penutup sebuah fasa perkhidmatan yang amat bermakna.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai depan, selepas tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merebut jawatan Naib Presiden.

Pengumuman beliau itu menyusul selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan, selepas turut tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan, beliau hanya meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan supaya mereka dapat bermuhasabah diri, bukannya menerima peletakan jawatan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast