Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat penjelasan terbuka di Parlimen berkenaan laporan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang mempertimbangkan langkah menjual syarikat miliknya di Kanada.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan juga perlu mengemukakan laporan penuh pelaburan dan pulangan menerusi syarikat Progress Energy Resources Corp. itu.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga perlu memberi jaminan pegangan dalam projek LNG Canada tidak akan dijual, selain menuntut moratorium segera ke atas penjualan aset luar negara milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Prestasi Petronas merosot — pendapatan bersih jatuh lebih 30 peratus pada 2024, harga minyak global menurun, dan langkah pengurangan pekerja sedang dilaksana.

“Dalam masa sama, kerajaan menarik subsidi LPG dan sedang timbang tarik subsidi RON95, sambil terus memerah RM40 bilion dividen Petronas bagi tampung bajet.

“Ini bukan lagi soal korporat. Ini soal tanggungjawab nasional,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Petronas dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah menjual syarikat miliknya di Kanada yang dahulunya dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp, dengan anggaran nilai mencecah antara AS$6 bilion hingga AS$7 bilion (kira-kira RM27.6 bilion hingga RM32.2 bilion).

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber terdekat, Petronas sedang bekerjasama dengan seorang penasihat kewangan bagi menilai potensi penjualan syarikat berkenaan, termasuk kemungkinan melepaskan sebahagian pegangan minoriti sekiranya penilaian pasaran bersesuaian.

Tambah laporan itu, syarikat tersebut telah mula mendapatkan minat awal daripada pembeli berpotensi namun, perbincangan masih berjalan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

Bagaimanapun, wakil Petronas belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara tersebut.

Sementara itu, Ahmad Fadhli mengingatkan kerajaan bahawa Petronas bukan milik Putrajaya, sebaliknya ia milik rakyat.

“Jika kerajaan terus menjual aset negara untuk tampung kegagalan sendiri, maka rakyat akan bangkit bersuara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast