Menurut kenyataan itu, bagi menjayakan projek berkenaan, kerajaan akan mengambil alih dua lot tanah kecil berkeluasan kira-kira 0.79 hektar yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia.
Singapura sebelum ini telah mengutus surat cadangan kepada Malaysia pada Mei 2022 dan November 2023 untuk membeli tanah tersebut.
Jelasnya, lot-lot tanah berkenaan terletak berhampiran kawasan tengah pembangunan semula, dipenuhi tumbuhan dan tidak digunakan. Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) telah mewartakan pengambilalihan tanah tersebut pada 4 Jun.
“SLA dan ICA akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia sepanjang proses pengambilalihan ini.
“Sambungan ini akan merangkumi kemudahan pelepasan automatik baharu bagi kenderaan kargo, kereta yang tiba, dan motosikal yang tiba,” kata kenyataan itu lagi.
Lebuhraya Bukit Timah (BKE) juga akan dipanjangkan untuk mewujudkan laluan terus bagi kenderaan yang keluar dari pusat pemeriksaan untuk memasuki lebuh raya.
Ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan tempatan semasa waktu puncak, tambah kenyataan itu.
Jumlah harian pengembara di CIQ Woodlands meningkat sebanyak 22 peratus kepada 327,000 pada tahun 2024 berbanding 269,000 pada tahun 2023.
Seramai 376,000 pengembara direkodkan melintasi pusat pemeriksaan tersebut pada 20 Disember 2024, semasa cuti akhir tahun persekolahan – satu rekod baharu.
Menjelang tahun 2050, jumlah purata harian pengembara yang melalui pusat pemeriksaan itu dijangka mencecah 400,000 orang.
Fasa-fasa seterusnya dalam projek ini akan melibatkan pembinaan kemudahan pelepasan tambahan dan pengubahsuaian pusat pemeriksaan sedia ada.
Apabila siap sepenuhnya, pusat pemeriksaan yang telah dibangunkan semula ini akan membolehkan ICA meningkatkan kecekapan proses pelepasan untuk semua jenis pengangkutan, serta mengurangkan masa perjalanan purata daripada satu jam kini kepada hanya 15 minit semasa waktu puncak.
Selain itu, pihak berkuasa juga akan dapat menggabungkan lebih banyak sistem automasi untuk meningkatkan kecekapan, menjalankan pemeriksaan keselamatan di luar struktur utama pusat pemeriksaan bagi mengurangkan risiko keselamatan.
Ia juga bakal menyediakan kawasan menunggu bagi trafik dalam kawasan pusat pemeriksaan untuk mengurangkan kesesakan di BKE dan jalan-jalan sekitarnya.
“Pusat Pemeriksaan Woodlands yang dibangunkan semula ini akan meningkatkan pengalaman pelepasan imigresen bagi para pengembara yang melintasi Tambak Johor,” menurut kenyataan itu.
“ICA akan terus memanfaatkan teknologi dan membangunkan penyelesaian inovatif bagi memudahkan perjalanan dan perdagangan rentas sempadan, sambil memastikan keselamatan sempadan kita terjamin.” – Agensi