KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz disifatkan tokoh sesuai untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.
Aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fairul al-Qasas berkata, Tengku Zafrul telah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang Menteri yang berwibawa, malah hakikat itu diakui sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Fairul yang juga bekas Ketua Penerangan Cabang PKR Kuala Krau berkata, persoalan mengenai Tengku Zafrul mahu diangkat sebagai Menteri Besar Selangor atau menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tidak sepatutnya menjadi isu.

“Tengku Zafrul dialu-alukan ke dalam PKR sama seperti teknokrat yang lain.
“Kemasukan beliau juga sesuai kerana dibuat selepas pemilihan PKR yang bermakna beliau tidak berhasrat merebut jawatan.
“Jika beliau bertanding dalam pemilihan Keadilan 2028 nanti bermaksud beliau sudah tiga tahun dalam parti dan melepasi tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau ditanya berkenaan desas-desus yang bertiup kencang ketika ini yang mana Tengku Zafrul sedang dipersiapkan untuk menjadi Menteri Besar Selangor susulan tempoh lantikan Senator beliau akan berakhir awal Disember depan.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan keputusan Tengku Zafrul mengumumkan keluar UMNO minggu lalu, dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula membuat penafian akan berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada individu tertentu bertanding seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar Selangor baharu.
Sementara itu, Fairul berkata, pengumuman Tengku Zafrul untuk keluar UMNO dan menyertai PKR bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan perkara tersebut telah lama berlegar dalam politik tempatan.
Malah, beliau percaya sudah ada perbincangan awal antara pemimpin kanan PKR dan UMNO berkenaan situasi melibatkan Tengku Zafrul terbabit.
Jelasnya, pengumuman yang dibuat Tengku Zafrul minggu lalu juga disifatkan tepat pada waktunya memandangkan beliau bakal meninggalkan kementerian kerana telah tamat tempoh Senator.
“Maka, ia juga memberi ruang Anwar untuk melantik menteri baharu baru bersama dua kekosongan menteri yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui PKR perlu berhati-hati dalam menangani polemik penghijrahan Tengku Zafrul ke dalam parti itu supaya ciri-ciri inklusif PKR sebagai parti rakyat diteruskan dan tidak berubah menjadi eksklusif kepada golongan elit.
Dalam masa sama, jelas beliau, wakil daripada UMNO juga wajar diberi ruang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tengku Zafrul sebagai menteri supaya tidak berlaku goncangan politik dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

















PKR dah tak de pemimpin lain yang boleh di angkat jadi MB? Hanya ada pemimpin jalanan saja ke? Kalau begitu PKR elok saja di bubarkan dan menyertai BERSATU sebab BERSATU parti Alam Flora itu yang digidupkan dengan mengutip sampah dan besi buruk sebagai ahli dan diberikan kefuduksn dalam parti.