PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Menurut Dr. Mahathir, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.
Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekali gus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara.
“Ketika ini orang Melayu belum ada pejuang yang khusus. Tetapi sekarang ini kita tak peduli tentang masalah-masalah lain, kita cuma nak tumpu kepada satu perjuangan saja.
“Iaitu perjuangan menyelamatkan orang Melayu. Dan kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu yang cuma boleh diatasi kalau kerajaan ini dikuasai oleh orang Melayu.
“Sebab itu perjuangan kita ialah untuk mencari jalan supaya kita berkuasa semula dan kita dapat menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Melayu.
“Dan kita bersetuju dengan mengadakan satu gerakan tidak rasmi, yang kita panggil sebagai payung besar supaya semua orang Melayu boleh ada dalam satu kumpulan,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Mahathir mengadakan perbincangan berkenaan penubuhan sekretariat itu bersama-sama beberapa pemimpin antaranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara itu, ditanya sama ada gerakan baharu tersebut turut akan dilibatkan bersama UMNO, Dr. Mahathir memberitahu, beliau menjemput ahli-ahli parti berkenaan untuk bersama-sama inisiatif itu.
“Walaupun dia jadi ahli ahli UMNO, kalau dia bersetuju dengan usaha kita ini, kita terima,” katanya.
Ditanya langkah seterusnya gerakan itu sama ada akan menjadi parti politik dan menyertai pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata, gerakan tersebut akan dipersiapkan untuk memastikan kemenangan orang Melayu.
“Kita akan buat persiapan untuk dapat kemenangan supaya orang Melayu kembali berkuasa dalam negara kita.
“Hari ini orang Melayu sudah hilang separuh daripada kuasa orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

















22 tahun jadi PM tidak cukup untuk ‘menyatukan’ Melayu?
dan kini masih mahu menunggang Melayu?