KUALA LUMPUR – Seramai 33 pekerja kilang warga asing cedera selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik di Jalan P/6, Seksyen 13, Bandar Baru Bangi, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK II Rahamat berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas bas bas kilang terbabit yang membawa 44 lelaki yang juga pekerja kilang warga asing hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.
“Seramai 33 orang mangsa mengalami cedera ringan dan lapan orang daripadanya telah di bawa ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang.
“Manakala selebihnya diberi rawatan di lokasi kejadian sementara 11 orang lagi mangsa dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Operasi menyelamat membabitkan 13 anggota dari BBP Bangi dan BBP Kajang bersama tiga jentera termasuk satu FRT dan dua unit EMRS. – MalaysiaGazette
















