KENYATAAN media Pemuda Pas berkenaan perubahan tarikh himpunan aman bantah RUU PSB.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas akan menggerakkan himpunan aman besar-besaran bagi membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ke tarikh baharu iaitu pada 26 Julai depan.

Menurut Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, perubahan dari tarikh asal pada 14 Jun ini disebabkan penangguhan sidang Dewan Rakyat ke 21 Julai hingga 28 Ogos depan.

Jelas beliau, tarikh baharu perhimpunan aman yang akan turut disertai parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bagi memastikan para Ahli Dewan Rakyat mendapat isyarat jelas terhadap keresahan rakyat berkait isu RUU PSB serta isu-isu lain.

“Selain itu, Pemuda PAS Malaysia juga ingin memaklumkan bahawa kami telah menerima sokongan serta permohonan daripada pelbagai NGO dan parti politik untuk bersama-sama membantah URA versi Kerajaan Madani ini disamping kebimbangan mereka terhadap isu peningkatan kos sara hidup rakyat serta kelemahan tatakelola pentadbiran kerajaan yang semakin membimbangkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Afnan Hamimi turut mempersoalkan motif sebenar penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula 23 Jun hingga 31 Julai depan.

Lebih membimbangkan, ujarnya, penangguhan itu berlaku tanpa sebarang justifikasi yang munasabah memandangkan tiada darurat, tiada wabak dan tiada bencana yang sedang melanda negara.

“Alasan kerajaan yang kononnya mahu menunggu unjuran ekonomi susulan tarif balas dari Amerika Syarikat adalah longgar, kabur dan menimbulkan persoalan.

“Adakah ini taktik kerajaan untuk mengelak daripada berhadapan dengan bantahan rakyat terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang semakin kuat?” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast