KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin kononnya UMNO Sabah pernah melalui ‘sejarah hitam’ bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Bung diingatkan agar tidak memutarbelit fakta dan cuba mengelirukan rakyat bagi menutup helah keengganannya bekerjasama dengan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Mangsa buli politik sebenarnya adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan GRS bukannya Bung dan UMNO-BN.
“Sejak hari pertama Bung menganggotai Kabinet Sabah selepas PRN16, Hajiji terpaksa serahkan portfolio Kementerian Pembangunan Infrastruktur kepada Ketua UMNO Sabah itu.
“Sedangkan jawatan itu sepatutnya diberikan kepada Datuk Seri Masidi Manjun,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Bung berkata, ‘sejarah hitam’ yang pernah dilalui UMNO Sabah ketika bersama GRS sebelum ini menyebabkannya perlu menilai secara teliti sebarang kerjasama dengan gabungan itu.
Bung berkata, UMNO Sabah hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.
Selain itu, Zulkarnain mendedahkan sejarah pelantikan Ketua UMNO Sabah itu sebagai Menteri Kerajaan Perumahan dan Tempatan Sabah berlaku selepas wujud ugutan secara senyap ke atas Hajiji hingga portfolio Bung ditukar.
“Ironinya hampir kesemua jawatan menteri dan Pengerusi GLC juga telah diberikan kepada wakil rakyat dan pemimpin UMNO,” katanya.
Kemuncak tindakan buli politik Bung ke atas Hajiji dan GRS apabila berlakunya rancangan langkah kudeta pada 2023.
“Bung telah bersekongkol dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui Hajiji.
“Malangnya usaha ini telah gagal selepas wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah enggan bekerjasama. Jadi persoalan di sini siapa sebenarnya mangsa buli politik UMNO Sabah atau GRS,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















